Prakata: Satu cubaan lagi untuk menulis masukan blog dalam Bahasa Malaysia, kini bertujuan untuk membincangkan perkara yang dianggap lebih mustahak dan bersifat ilmiah. Masukan ini juga memberikan cabaran untuk menajamkan lagi minda dan juga meningkatkan kemahiran untuk menyampaikan buah fikiran terutamanya yang bersifat ilmiah dalam Bahasa Malaysia yang secara jujurnya bagi saya, masih terhad. Tanpa berlengah lagi, mai kita mula!
Ahad 2 Mei 2010. Saya bersama dengan sepupu saya (yang sedang bekerja di Pulau Pinang dan selalu membawa saya keluar makan angin dengan kereta kecik Smart Fortwo-nya) pergi ke AEON Seberang Prai City (yang terletak di Bandar Perda kat seberang tanah besar tu) untuk menonton filem aksi Hong Kong terkini, Ip Man 2. Sebab sepupu saya menjelajah jauh setakat kerana ingin menonton wayang: dia ingin mengelakkan diri daripada hingar-bingar para penonton filem yang akan membanjiri pawagam-pawagam di sekitar pulau (ya, pulau) Pinang seperti di Queensbay dan Gurney Plaza walaupun jauh lebih dekat dengan tempat tinggal kami berdua sekarang (Saya di USM kampus induk, dia pula di Sungai Dua yang terletak bertentangan pintu Sungai Dua USM). Kami berdua tidak sempat untuk menonton tayangan pertama pada hari itu iaitu pada 11:20 pagi dan terpaksa memilih bahagian tayangan seterusnya iaitu pada 1:45 petang. Masih ada dua jam lagi masa yang terluang dan saya pun menghabiskan masa terluang saya di Gedung Buku Popular yang pernah saya kunjungi beberapa bulan dahulu untuk membeli Tesaurus Bahasa Malaysia terbitan DBP yang entah kenapa tidak dapat ku jumpai di sebarang kedai/gedung buku besar di pulau Pinang.
Ketika saya berlegar-legar dalam gedung buku itu sambil mencarai buku yang menarik untuk dibaca dan sesuai untuk menghabiskan masa terluang, mata saya terhenti pada bahagian buku Bahasa Malaysia-nya. Sepintas lalu mata memandang dan timbullah beberapa pemerhatian/penghayatan berkenaan dengan bahagian Bahasa Malaysia Gedung Buku Popular: 1) Kebanyakan buku yang didapati di sini tidak kira apa jua genre/jenis sekali pun adalah terbitan Kumpulan PTS yang setahu saya diasaskan bersama oleh Prof. Abdullah Hassan (nukilannya boleh didapati di laman web rasmi Institut Peradaban Melayu di UPSI dan juga Semanggol.com, blog persendiriannya) dan isterinya Ainon Muhammad yang kedua-duanya merupakan antara Sarjana Bahasa Melayu/Malaysia yang terkenal di Malaysia. 2) Jika dibandingkan dengan bahagian buku Bahasa Inggeris dan buku Bahasa Mandarin, bahagian buku Bahasa Malaysia adalah agak kekurangan dan sememangnya pemerhatian sebegini adalah wujud bagi kesemua gedung buku terulung di Malaysia tak kiralah Popular, MPH, Borders, Times dan sebagainya. Apakah sebab timbulnya keadaan ini? Adakah kerana bilangan/dunia penerbitan Bahasa Malaysia sememangnya tidak hangat/rancak, agak kekurangan dan tidak menarik jika berbanding dengan penerbitan Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin (yang sebenarnya mempunyai sumber yang meluas lagi kerana boleh diimport dari luar negara di samping terbitan tempatan.)? Ataupun terbitan Bahasa Malaysia tidak cukup menguntungkan bagi gedung-gedung buku besar? Ataupun kerana rakyat Malaysia tidak suka membaca terutamanya buku Bahasa Malaysia? Ataupun…ataupun. Sekira kita kupas lagi sebab berlakunya keadaan ini memang akan meleret-leret dan tidak akan habis. Cuma kita perlu sedar tidak kira apapun sebabnya, kesemua sebab tersebut sebenarnya berkait rapat dan berupaya untuk menpengaruhi kewujudan satu sebab lagi bagaikan kitaran yang tidak akan henti. Walau apapun, mari kita teruskan dengan tinjauan selanjutnya.
Mari kita mulakan dengan bahagian Pegurusa,,,alamak maaf! Sepatutnya PENGURUSAN! Tolonglah beri perhatian pada ejaan!
Separuh daripada almari bahagian pengurusan adalah terdiri daripada siri Buat Duit terbitan PTS. Walaupun beberapa judul yang terdapat dalam Siri Buat Duit ini agak menarik seperti Ikan Keli, Lembu dan cacing tanah (!) yang menggalakkan orang ramai untuk menerajui keusahawanan asas tani, judul-judul lain pula seperti di Youtube, Tuisyen, Seminar (huh?) boleh dipertikaikan dari segi kemapanan bentuk perniagaannya. Buat Duit dengan Youtube? Spam ke? Apakah implikasi yang kita boleh simpulkan di sini? Adakah kita inginkan golongan muda kita mencari kemewahan di samping mengejar awang-awangan yang mungkin tidak akan kesampaian?
Buku ini yang berjudul Menjadi Jutawan MLM (Multilevel Marketing) telah berjaya menarik perhatian saya kerana saya minat pada MLM. Tidak. Sebaliknya saya benci MLM dan tatkala ternampak buku ini saya ingin menggeleng kepala saya untuk menandakan rasa tidak puas hari saya. MLM ataupun jualan pelbagai peringkat, skim perniagaan yang termasuk jualan terus produk mempunyai risiko yang tinggi di samping sarat dengan kontroversi. Akan tetapi lihatlah! Di sini wujudlah sebuah buku yang menggalakkan golongan muda terutamanya bakal lepasan universiti untuk menjeratkan diri dalam perangkap MLM. Anda sebagai pembaca mungkin menanggap saya mempunyai pandangan serong terhadap skim perniagaan MLM, tetapi saya percaya di sebalik seorang jutawan yang kononnya “berjaya” terdapat beribu-ribu orang lagi yang gagal dan terus terjerat dalam kancah MLM, tidak berdaya untuk menentangnya kerana skim perniagaan sebegini dianggap sah di sisi undang-undang selagi ia menawarkan perkhidmatan ataupun produk.
Untuk menenangkan jiwa kita daripada pengaruh duniawi, kita perlulah merujuk kepada bacaan keagamaan. Kebanyakan buku-buku keagamaan yang saya boleh lihat sememangnya baik dan berkisarkan tentang nilai-nilai murni agama (hampir kesemuanya Islam kecuali satu atau dua judul yang membincangkan nilai rohaniah agama lain yang boleh diambil iktibar setakat yang saya ingat tentang dua jam itu.) Walau bagaimanapun, pemerhatian saya terhenti seketika pada bahagian almari yang terletaknya pelbagai judul yang berkisar tentang kekeluargaan Islam. Poligami: Kesenangan atau Kesengsaraan. Sebagai seorang bukan Muslim (yang disisi undang-undang sivil, dilarang sama sekali untuk melakukan poligami) dengan pengetahuan terhad tentang institusi kekeluargaan Islam yang membenarkan poligami, memang amat sukar bagi saya untuk memahami munasabah (keagamaan ataupun praktikal) di sebalik poligami. Pada saat saya ternampak buku ini, saya…tidak tahu apa reaksi yang saya perlu berikan sama ada terpesona ataupun terkejut. Apa yang kita jelas perhatikan di sini adalah pembaca sasaran buku sebegini sememangnya golongan keluarga Muslim.
Walau bagaimanapun, seperti monogami (iaitu jenis perkahwinan yang paling lazim di dunia ini), poligami juga mempunyai masalahnya yang tersendiri sama ada dari segi hubungan ataupun pengurusan masa dsb. Oleh itu timbullah keperluan untuk menerbitkan buku ini: Tip-Tip Poligami!
Muka depan ini mempunyai nasihat yang amat penting bagi sesiapa yang ingin mengamalkan poligami dan dipetik daripada Surah an-Nisak ayat ketiga. Mesej utama yang terkandung dalam petikan surah tersebut: Janganlah beristeri ramai kalau tak mampu sama ada dari segi memberi kebahagiaan ataupun menyara mereka!
Ketika saya meneruskan tinjauan, pandangan saya kali pula tertarik pada kedua-dua buku ini yang mempunyai judul yang pada pendapat saya amat menggerunkan. Buku pertama: Offline dengan Syaitan. Selepas meneliti bahagian muka hadapannya sahaja, saya mendapat dua jenis implikasi (yang hanya akan dipastikan jika saya membacanya): 1) Penulis menggunakan perkataan Offline ini melalui makna tersirat dan sememangnya makna tersirat ini diperjelaskan lagi melalui byline-nya di bawah iaitu putusan talian dengan syaitan. Walau bagaimanapun, 2) Perkataan Offline di sini merupakan daripada bidang teknologi khususnya Internet lalu memberikan implikasi bahawa Internet itu dipenuhi pengaruh jahat/syaitan dan buku ini ditulis untuk memberikan amaran kepada pengguna internet supaya menjauhkan diri daripada pengaruh jahat/syaitan! Sekiranya tafsiran saya kedua itu betul, maka saya memang terjerat dengan pengaruhi syaitan dan akan masuk neraka kelak, sama seperti pengguna internet lain yang tidak terbilang bilangannya. Buku kedua: Agenda Yahudi Menakluk Dunia. Tak kiranya apa jua penindasan yang berlaku di Tebing Barat oleh Tentera Israel sekarang, saya berpendapat bahawa tindakan menyalahkan orang Yahudi secara KESELURUHANNYA tentang segala malapetaka dan keadaan dunia semasa adalah amat tidak betul jika diperincikan lagi secara kritis. Lebih-lebih lagi, buku ini ditulis bersandarkan sebuah karya Zionis yang berjudul The Protocols of the Elder of Zion yang didakwa memperincikan cara-cara Zionis menakluki dunia. Setakat yang saya tahu, buku inilah yang telah digunakan oleh pemerintahan Nazi di Jerman semasa Perang Dunia Kedua untuk mengapi-apikan kemarahan dan prejudis yang seterusnya menjurus kepada penghapusan etnik besar-besaran di Eropah sebagai penyelesaian terakhir persoalan kewujudan Yahudi. Sekarang dalam alaf ke-21 ini, hujah sebegini masih mendapat sokongan walaupun sudah berkali-kali didedahkan sebagai plagiat dan dinafikan berkali-kali hasil siasatan (penafiannya boleh didapati dalam artikel Wikipedia bersama dengan pelbagai rujukannya lagi.). Karya sebegini hanya setakat teori konspirasi yang sememangnya bertujuan untuk memperdayakan minda pembaca sehingga memegang pada nilai kebencian dan prejudis. Saya tidak sokong Zionis tetapi saya tidak sokong juga penipuan dan prejudis.
Setelah menghabiskan dua jam di Gedung Popular, apakah kesimpulan yang boleh dicapai hasil pemerhatian? Penerbitan Bahasa Malaysia sememangnya mempunyai ruang yang AMAT LUAS lagi untuk dikembangkan dan dimajukan di samping penerbitan ilmiah dalam Bahasa Malaysia (tidak kira hasil tulen penulis tempatan ataupun terjemahan dari Bahasa Asing) haruslah diperbanyakkan lagi dan dijual di Gedung Buku terulung di serata tanahair.
Akhir kata: Adoi, panjangnya. Nukilan saya di atas adalah setakat pemerhatian dan penghayatan saya sendiri dan sememangnya kajian yang lebih mendalam, kritis dan terperinci yang akan mengambil masa yang panjang perlulah dijalankan untuk menilai keadaan dunia penerbitan Bahasa Malaysia semasa. Tetapi berharap penulisan ilmiah sebegini akan mencambahkan lagi buah fikiran yang lain lalu memperluaskan wacana ilmiah. Saya sendiri pun agak puas hati dengan hasil tulisan saya ini dan mungkin saya akan cuba menulis dalam BM lagi. Sekian! Alamak, tinggal empat hari sebelum saya meninggalkan kehidupan saya sebagai pelajar universiti peringkat Sarjana Muda. Bilakah langkah hidup saya sebagai seorang Sarjana akan bermula…
No comments:
Post a Comment